Syabas TGHH, Syabas PAS

Fastabendera.jpg
Kongsi Bersama

1. Selepas PAS tidak mendapat sebarang kerusi untuk ditandingi di PRN Sabah dan selepas Datuk Seri Haji Hadi menyatakan yang parti itu menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada, maka melompat-lompatlah makhluk-makhluk yang menjadi musuh perpaduan.

2. Muncullah di sana sini komen yang memperlecehkan PAS. Paling nyata di kalangan penyokong-penyokong Amanah, parti kecil yang hidupnya bersandarkan ehsan kawan-kawan dalam PH.

3. Yang menyarankan PAS melihat semula hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN) pun ada. Sebahagiannya mungkin kerana betul-betul simpati, tetapi sebahagian besar lagi sebenarnya batu api.

4. Hakikatnya, bagi yang berakal, pendirian PAS dalam isu ini wajar dipuji. Ia keputusan bijak yang secara tidak langsung telah mengangkat PAS menjadi pemenang awal dalam PRN Sabah ini.

5. Walaupun ia sebuah parti politik, PAS bukan parti biasa-biasa. Ia turut mendokong misi lain. Ia membawa bersamanya imej Islam. Diasingkan macam mana pun sudah tidak boleh sebab atas dasar Islamlah ia berdiri. Islam memang tidak memerlukan PAS, tapi PAS, dalam konteks sekarang, tetap memerlukan Islam. Tidak boleh tidak.

6. Jadi berbanding parti-parti lain, PAS memikul tanggung jawab yang berat. Buruk lakunya, buruklah ‘baju’ Islam yang dipakainya di mata khalayak.

7. Dan dalam kes pengagihan kerusi di Sabah, PAS berjaya menunjukkan cantiknya Islam. Bermesyuarah, menerima keputusan dengan penuh hikmah, terus melangkah dengan tabah dan selebihnya berserah kepada Allah. Tidaklah sampai menghempas mikrofon kerana dorongan nafsu-nafsi.

8. Kerusi itu penting. Tetapi ia bukanlah segala-galanya. Yang perlu PAS cari bukan kemenangan hari ini, sebaliknya kemenangan jangka panjang yang sifatnya lebih hakiki.

9. Budaya politik di Sabah berbeza daripada di Semenanjung. PAS juga harus mencari pendekatan yang sedikit berbeza untuk membolehkan ia diterima secara lebih meluas di negeri ini.

10. Dan toleransi tinggi yang ditunjukkannya dalam soal pengagihan kerusi PRN Sabah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan yang dimaksudkan itu. Ia seiring dengan nilai-nilai kehidupan di Sabah yang sangat menitik beratkan soal toleransi seperti itu.

11. Kita juga percaya pengorbanan PAS tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Jika BN atau PN atau gabungan kedua-duanya berpeluang membentuk kerajaan, PAS akan diberi tempat yang sesuai. Paling tidak, salah satu daripada enam kerusi Adun lantikan mungkin disediakan untuk PAS. Mungkin.

12. Pendek kata, dengan kerjasama yang ada, PAS akan perlahan-lahan mendapat tempat. Ia sesungguhnya tidak rugi apa-apa atas jiwa besar yang dipamerkannya. Yang akan rugi adalah mereka yang meremehkan pengorbanan itu. Mereka yang mentertawakannya, termasuk kumpulan baju oren serpihan PAS dahulu, yang kalau bertanding atas kekuatan sendiri, jangankan kerusi, kaki kerusi pun belum tentu dapat.

 

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top