Sinar Harian semalam melaporkan Hartal Doktor Kontrak yang diadakan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) tidak mendapat sambutan apabila hanya dua individu hadir.
Menurut laporan itu, dua wanita berusia lingkungan 20-an tersebut dipercayai pegawai perubatan bergerak dari lobi utama hospital dan menuju ke tempat parkir kenderaan sambil membawa plakad bertulis ‘hkontrak’ dan ‘we are your future specialists’.
Kehadiran dua wanita itu hanya disedari petugas media pada jam 11.52 pagi selepas lebih sejam berkumpul di pekarangan HQE1.
Ketika ditanya pemberita berhubung kehadiran mereka adakah disusuli rakan yang lain, kedua-dua wanita itu menyatakan tidak pasti namun sehingga jam 12.30 tengah hari, tiada sebarang perhimpunan dibuat di hospital berkenaan.
Hartal Doktor Kontrak dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi Isnin membabitkan 24 hospital di seluruh negara termasuk di Sabah iaitu HQE1 dan Hospital Tawau sebagai protes kepada kerajaan berhubung tuntutan mereka sebelum ini.
Sementara itu, di Hospital Tawau difahamkan tiada sebarang perhimpunan diadakan oleh doktor-doktor kontrak sejak jam 11 pagi.
Apa yang lebih menarik, Sinar melaporkan mengenai pendirian pegawai perubatan berstatus kontrak di Hospital Tawau, Dr Abraham Hsieh Lih Xian, 32, (gambar) yang berkata, perhimpunan seumpama itu tidak wajar diadakan ketika tenaga semua petugas kesihatan diperlukan untuk merawat pesakit.
“Secara peribadi, ketika Covid-19 kita perlu menumpukan kepada rawatan pesakit, dan isu membabitkan kontrak kami, saya percaya kerajaan boleh mendengar masalah dan keperluan kami doktor kontrak sekali gus mencari jalan penyelesaian,” katanya, sebagaimana dipetik oleh laporan tersebut.