KUCHING: Sarawak tidak boleh terus menguatkuasakan sekatan pergerakan sebaliknya bersedia mengisytiharkan COVID-19 sebagai endemik.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bilangan kes COVID-19 bagi kategori tiga hingga lima di negeri ini hanya membabitkan beberapa kes.
“Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed) dalam taklimat menerangkan bagaimana kita akan melangkah ke fasa endemik.
“Kita tidak boleh menguatkuasakan sekatan pergerakan atau Perintah Kawalan Pergerakan terus-terusan. Penyakit ini (COVID-19) dan saya berpendapat para saintis dan doktor perlu memahami serta melihat cara terbaik untuk mengendalikannya,” katanya dipetik Utusan Borneo.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Taklimat Mengenai Situasi COVID-19 di Sarawak yang dihadiri semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.
Uggah yang juga Pengerursi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kadar vaksinasi tinggi dalam kalangan rakyat Sarawak yang kini melebihi 80 peratus telah membantu mengurangkan bilangan kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima.
Beliau juga memberitahu Sarawak merupakan negeri yang merekodkan peratusan vaksinasi tertinggi dan pertama melaksanakan program vaksinasi untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Memang kita sejak kebelakangan ini merekodkan jumlah kes harian COVID-19 yang tinggi, misalnya hari ini (Rabu) 3,100 kes baharu dilaporkan namun 99.87 peratus kategori 1 dan 2 manakala kategori tiga, empat dan lima hanya 0.13 peratus,” jelasnya.
Kategori satu adalah pesakit COVID-19 yang tidak mempunyai gejala, kategori dua bergejala ringan, kategori tiga pula pesakit mengalami jangkitan paru-paru, manakala kategori empat, jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen dan kategori lima pesakit mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.
Uggah berkata Sarawak juga tidak terkecuali berdepan penularan varian yang membimbangkan (VOC), iaitu varian Delta bagaimanapun dengan kadar vaksinasi yang tinggi berjaya mengurangkan gejala lebih teruk kepada pesakit.
“Varian Delta telah menular di banyak negara malah di negara yang merekodkan kadar vaksinasi yang tinggi seperti Israel dan England bilangan kes melibatkan varian ini juga tinggi.
“Kita di Sarawak sangat bertuah kerana kadar vaksinasi kita juga sangat tinggi. Kita tidak dapat menghentikan penularan atau transmisi varian Delta tetapi kita berusaha menghalang atau mengurangkan gejala yang lebih teruk.
“Oleh sebab itulah bilangan kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima di Sarawak amat rendah,” ujarnya.
Mengenai taklimat itu, Uggah berkata kehadiran semua ADUN sama ada dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangkang menunjukkan setiap orang memberi perhatian terhadap kepentingan rakyat.
“Saya gembira, semua ada di sini, semua ADUN, semua parti oleh sebab itulah kita meminta semua pihak bekerjasama kerana ini adalah peperangan kita bersama dan untuk menang kita harus bekerjasama.
“Saya amat menghargai sumbangan (dalam bentuk idea dan pandangan) daripada semua yang hadir,” katanya.