Suspek Kes Curi Hanya Cedera, Bukan Meninggal Dunia – Polis

polis.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Polis mengesahkan suspek yang dipukul dalam kejadian kes curi di sebuah pasar raya di daerah ini hanya cedera dan bukannya meninggal dunia seperti ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu susulan sebuah video yang tular di media sosial pada Khamis.

Katanya, satu laporan polis telah diterima pada jam 1.21 petang Khamis oleh seorang pengadu yang menyatakan telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun disyaki terlibat dalam kes curi di pasar raya di Jalan Bugaya.

“Kejadian berlaku pada jam 3 petang Rabu di mana pengadu sedang bekerja di pasar raya berkenaan dan telah menahan seorang suspek.

“Suspek cuba melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam dan selepas itu beberapa pekerja pasar raya cuba menahannya, namun suspek bertindak memandu secara berbahaya sehingga melanggar dua kenderaan lain yang diletakkan di hadapan pasar raya dan merosakkan kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Farhan berkata, atas ihsan seorang individu lain telah membayar kerugian terhadap kerosakan kedua-dua kenderaan terbabit.

“Suspek kemudian dilepaskan atas perbincangan antara mereka dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek telah mencuri dua botol syampu dan satu losyen tangan yang bernilai RM126.

“Suspek juga mempunyai 11 rekod lampau iaitu dua kes jenayah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 kanun yang sama serta sembilan rekod melibatkan kesalahan dadah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes itu dengan mengambil kenyataan saksi insiden di pasar raya berkenaan.

“Suspek kemudian berjaya ditahan pada jam 4.50 petang tadi dan bukan meninggal dunia seperti yang ditularkan tetapi hanya cedera akibat dipukul dalam kejadian itu.

“Suspek ditahan reman bermula esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Farhan menasihatkan supaya pemilik pasar raya segera membuat laporan jika berlaku kes kecurian dan menyerahkan suspek kepada pihak polis. – Sinar Harian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top