Suri Rumah Dikesan Bergejala di PPV Cetus Kluster Jalan Corak

vaksin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang suri rumah yang dijangkiti Covid-19 dan dikesan bergejala ketika menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Jalan Corak, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kluster yang dikesan di daerah Tongod itu mencatatkan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 12 kes.

“Kes indeks bagi kluster kategori komuniti ini mula dikesan apabila suri rumah berusia 30 tahun yang bergejala demam, batuk dan selsema disahkan positif Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai lalu.

“Siasatan awal mendapati, kes indeks bersama 14 rakannya mula mengalami gejala serupa sejak menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Telupid pada 24 Julai dan di antara mereka masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Saringan kontak juga mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19 di sekitar kediaman kes indeks.

“Setakat hari ini, aktiviti saringan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Masidi berkata, selain Kluster Jalan Corak, pihaknya turut mengesan satu lagi kluster berkaitan komuniti, Kluster Gambaron Dua di Telupid yang dipercayai menjangkiti jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli keluarga.

Beliau berkata, kes indeks adalah lelaki berusia 29 tahun yang bergejala sejak 22 Julai sebelum disahkan positif pada 23 Julai lalu.

“Berdasarkan siasatan, kes indeks mendapati jangkitan daripada seorang rakannya iaitu lelaki dari Tawau yang disyaki menjadi kontak kes positif di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid.

“Sepanjang tiga hari bermula 15 Julai 2021 di Kampung Gambaron 2, kes indeks bersama rakannya itu menunaikan solat di Masjid Pekan Telupid. Setakat hari ini, 95 individu disaring dan 53 daripadanya positif Covid-19 termasuk 41 kes baharu,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top