KOTA KINABALU: Peruntukan dana disuntik ke Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) untuk menampung pembayaran gaji staf kolej itu.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Gulamhaidar Khan Bahadar (gambar) berkata Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mengadakan perbincangan dengan Pengurusan UCSF dalam menangani perkara ini.
“Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah berharap agar Pengurusan UCSF mengekalkan saluran komunikasi dengan staf sebagai salah satu agenda utamanya, terutama pada masa amat sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin sebagai menjawab isu gaji staf UCSF seperti yang dilaporkan di media baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, mengakui bahawa berdasarkan keadaan kewangan semasa UCSF dan unjuran kemasukan pelajar baharu pada tahun 2022, kolej universiti itu dijangka tidak dapat menampung pembayaran gaji staf sepenuhnya.
“Bagaimanapun, Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah mengambil serius perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Beliau menambah, dalam memastikan perkara itu tidak berlarutan, Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu berdasarkan keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja.
“Justeru, Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah juga mengarahkan Pengurusan UCSF untuk tidak membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Semakan Kehakiman terhadap keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.
Pandemik Covid-19 merupakan sesuatu ancaman penyakit yang jarang berlaku sebelum ini dan di luar jangkaan, katanya.
“Ia telah banyak mempengaruhi aktiviti harian perniagaan pelbagai syarikat. Banyak pejabat dan kilang telah ditutup, dan pekerja terpaksa duduk di rumah.
“Sepanjang 18 bulan berlalu, terdapat banyak perniagaan yang terkesan, jatuh dan mengalami kerugian dan Negeri Sabah tidak terkecuali menerima kesan langsung pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia,” katanya sebelum menambah kesannya boleh dirasai bukan sahaja dari segi kesihatan malah telah memberikan kesan buruk kepada ekonomi banyak pihak.
Menurut beliau, sejak pandemik itu melanda dunia tahun lepas, kebanyakan kolej pendidikan turut berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.
“Kesannya amat mendalam sehingga dapat dirasakan pada sektor pendidikan.
“Sepertimana kolej dan universiti lain di Malaysia, UCSF turut merasakan impak daripada situasi pandemik ini,” katanya. –DE/Warta Oriental