Sultan Selangor Perkenan Bubar DUN Jumaat Ini

sultan-selangor.jpg
Kongsi Bersama

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Penggal Ke-14 berkuatkuasa 23 Jun (Jumaat) ini pada Istiadat Pengisytiharan Pembubaran di Istana Alam Shah, hari ini.

Pembubaran itu berkuatkuasa bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan berlangsung pada Julai ini.

Terdahulu pengumuman tersebut dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani di hadapan baginda dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Speaker, Ng Suee Lim dan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Susulan itu, proklamasi pembubaran DUN diserahkan oleh Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Salim Soib @ Hamid kepada Sultan Sharafuddin untuk ditandatangani baginda dan Menteri Besar.

Baginda kemudian dalam titahnya menjelaskan istiadat pembubaran tersebut dibuat lebih awal berikutan akan berangkat ke Tanah Suci pada 20 Jun (Selasa) bagi menunaikan ibadah haji.

“Maka, oleh yang demikian, beta dalam menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 (Bahagian Kedua Bab 5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan berunding dan menerima permintaan DUN Selangor daripada Menteri Besar, berkenan untuk menandatangani proklamasi pembubaran DUN yang ke-14 pada hari ini.

“Di kesempatan ini beta berpesan kepada calon-calon pilihan raya yang bakal diadakan nanti serta penyokong-penyokong mereka agar dapat menjalankan kempen yang berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang.

“Beta menegaskan calon-calon dan penyokong tidak memainkan isu berkaitan agama dan membangkitkan perkauman serta isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian perpaduan khususnya di Selangor,” titah baginda.

Tambah Sultan Sharafuddin lagi, baginda dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai depan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top