Sukan Wadah Terbaik Mantapkan Integrasi Kaum – Jahid

jahid-1.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Kegiatan sukan menjadi wadah integrasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, apa pun bentuk sukan pilihan masyarakat, beliau percaya semua jenis sukan itu mampu mengeratkan silaturahim antara kaum.

“Jika melihat perlawanan hari ini, kita sendiri melihat pemain dari pelbagai kaum turun padang untuk menunjukkan kemampuan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perlawanan akhir Pertandingan Bola Sepak Veteran 50 tahun ke atas anjuran RRB FC, di Padang Pekan Tamparuli, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha RRB FC, yang juga Pengerusi Penganjur Kejohanan, Sudi Tanggara, dan penyumbang utama program itu, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) tertinggi RRB, Jaipin Rasimin, yang telah memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10 ribu.

Katanya, di dalam sesebuah pasukan, perbezaan kaum dan agama tidak pernah menjadi isu.

Malah, hubungan akrab, saling menghormati dan semangat saling bekerjasama menyahut cabaran sebagai satu pasukanlah yang menjadi nadi kejayaan sesebuah pasukan.

“Saya lihat hari ini kita ada Cina, ada India, Melayu, dan kaum Bumiputera, ternyata sukan ini memang menyatupadukan kaum,” tambahnya.

Beliau turut mengulas tentang sesetengah orang yang kekal aktif walaupun pada usia lanjut, di mana, kian ramai individu lanjut usia lebih berminat membina stamina mereka dengan bersukan.

“Syabas dan tahniah kepada semua AJK RRB dan pasukan-pasukan yang telah menyertai pertandingan ini, saya difahamkan mereka datang dari pelbagai daerah dan terpaksa dihadkan penyertaannya, bagi menjaga Operasi Prosedur Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Difahamkan, kesemua pasukan telah memberikan komitmen dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan, tahniah,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kemudahan di padang tersebut, Jahid berkata, astaka padang Pekan Tamparuli kini telah dibina semula baru-batu ini dengan menggunakan material baharu berbentuk konkrit bernilai RM50 Ribu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, memberitahu, padang tersebut juga telah ditambah baik dan permukaannya akan memberi lebih keselesaan untuk bermain bola sepak.

“Lampu limpah solar yang sedia ada juga akan ditambah jumlahnya agar padang akan jadi lebih terang bagi memberi semangat kepada mana-mana pasukan yang menggunakannya kelak.

Perlawanan akhir mempertemukan Ex-Presta FC yang dibarisi beberapa bekas pemain Sabah, menentang Ranau Classico FC itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan ditentukan menerusi tendangan penalti, yang memihak kepada Ranau Classico. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top