Sukan Platform Pupuk Perpaduan Pelbagai Kaum Di Sabah – Nizam

basikal-tawau.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Sukan adalah platform tepat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama seperti di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, demi menjaga keharmonian hidup bersama acara penyatupaduan seperti sukan ini perlu pergiatkan.

Katanya, perkara itu bertepatan dengan teras kedua Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 iaitu pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri menginginkan kesejahteraan rakyat boleh dipelihara, bukan sahaja melalui bantuan keperluan asas bahkan ketenteraman hidup aman dan sentosa walaupun berbilang bangsa.

“Justeru, ia sentiasa menjadi tumpuan penting dalam agenda pembangunan negeri dan pelbagai inisiatif dirangka bagi membantu aspek pembangunan sukan di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan ‘Tawau Road Race 1.0’, di sini semalam.

Menurutnya, Sabah telah memperuntukkan sejumlah RM97.50 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, dengan memfokuskan pembangunan belia, kemajuan sukan serta baik pulih infastruktur dan fasiliti sukan sedia ada.

“Semua itu dilaksanakan atas dasar keprihatinan kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan pembangunan sukan di Sabah.

“Besar harapan saya supaya peruntukkan ini akan dinikmati oleh semua penggiat sukan dan masyarakat secara amnya,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Nizam menzahirkan ucapan syabas kepada semua peserta yang mengambil bahagian dan berjaya menamatkan kayuhan basikal sejauh 85 kilometer.

Katanya, kayuhan itu bukan satu jarak yang dekat, sudah pasti memerlukan kekuatan fizikal, percaturan kayuhan dan persediaan yang mencukupi sebelum mengambil bahagian dalam acara ini.

“Saya juga difahamkan, program kali ini melibatkan penyertaan seramai 430 peserta dalam 12 kategori yang dipertandingkan.

“Lebih mengujakan penyertaan bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan, malah turut disertai peserta dari negara jiran Brunei dan Indonesia,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan ADUN Sebatik, Hassan Ghani. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top