Suhaimi alu-alukan keputusan mahkamah lepas dan bebaskan Bung Moktar

IMG-20230907-WA0000.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu menunjukkan Bung Moktar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan isterinya mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Bung Moktar dan isteri diberikan peluang yang adil untuk mempertahankan diri mereka daripada tuduhan rasuah itu yang akhirnya memihak kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya Zizie dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Suhaimi berkata keputusan mahkamah itu menunjukkan proses undang-undang dan prinsip dilaksanakan bahawa setiap orang adalah tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

Menurutnya Bung Moktar dan isteri memberikan kerjasama dan patuh kepada pelaksanaan undang-undang serta membela diri mereka mengikut lunas undang-undang yang ada.

Beliau berkata dengan keputusan mahkamah itu Bung Moktar kini boleh menumpukan kepada usaha memperkukuhkan perjuangan UMNO Sabah serta UMNO Pusat dalam menghadapi senario politik pada masa kini.

“Kami di UMNO Sabah terus menyokong padu kepimpinan Bung Moktar dalam apa jua situasi dan cabaran yang datang kerana kami yakin akan integriti beliau,” kata Suhaimi

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top