TENOM: Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) akan terus memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan memperatkan silatulrahim selari dengan konsep ” Keluarga Malaysia” melalui program Ihya Ramadan.
Pengerusinya Jamawi Jaafar berkata program ihya Ramadan dan agihan bantuan Ramadan melalui program CSR syarikat itu akan memberi fokus kepada golongan miskin, anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan komuniti B40 dalam serta luar bandar.
“Ini adalah usaha berterusan yang dilaksanakan SDUC sempena menyambut kehadiran Ramadan, bulan penuh kemuliaan yang menjanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda,” katanya selepas menghadiri program Jelajah Ramadan SUDC di Masjid Ar Rahman Kampung Jawa Sumbiling dekat sini pada Jumaat.
Program yang dibiayai oleh SUDC itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Afizal Alidin.
Selain program berbuka puasa bersama masyarakat setempat pihak SUDC juga menyampaikan beberapa bantuan kepada masjid, madarasah tahfiz ,belia dan NGO daerah Tenom.
Menurut Jamawi, selepas negara dilanda pandemik COVID-19 kebanyakan rakyat terjejas punca pendapatan mereka seharian dan ini memberikan kesan yang mendalam justeru penyertaan syarikat berkaitan kerajaan, badan-badan NGO dan sektor swasta melalui program tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat terutama di bulan Ramdan amat bermakna bagi membantu meringankan beban yang mereka tanggung.
Dalam masa yang sama, Jamawi turut menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob yang meluluskan kebenaran bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kebenaran khas untuk mengeluarkan caruman mereka sebanyak RM10,000.
“Kebenaran ini sudah tentu melegakan rakyat khususnya pencarum memandangkan ekonomi negara belum stabil justeru mereka yang layak sudah tentu dapat memanafaatkan pengeluaran ini untuk perkara=perkara penting untuk mereka meneruskan penghidupan,” katanya.