PETALING JAYA: Pengumuman tol percuma selama empat hari tidak memberi manfaat buat rakyat Sabah dan Sarawak susulan terkesan kenaikan harga tiket penerbangan, kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berharap kerajaan merealisasikan inisiatif ‘credit fund’ yang pernah diutarakan sebelum ini untuk menyelesaikan isu harga tiket penerbangan di Malaysia Timur.
“Kita kena bantu kawan kita di Sabah dan Sarawak juga. Mereka patut juga menikmati RM93 juta subsidi, seperti kita menikmati tol percuma di Semenanjung.
“Adil dan saksama, kerajaan harus telus laporkan data terkini kapasiti penerbangan dan kos yang diperlukan untuk bantu subsidikan juga penerbangan bagi mereka. Kita perlu realisasikan inisiatif ‘credit fund’ yang pernah diutarakan dulu,” katanya di Instagram.
Syed Saddiq turut merujuk insiden seorang wanita terpaksa membeli tiket baharu ke Sabah sebanyak RM600 kerana penerbangan transitnya ditunda.
“Hakikatnya, harga tiket penerbangan macam nak ke Australia,” tegasnya.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM93 juta untuk menampung subsidi Tol Rahmah percuma diberikan kepada pengguna lebuh raya sempena sambutan Aidilfitri selama empat hari.
Inisiatif itu melibatkan 33 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan. – FMT