Subsidi tiket penerbangan musim perayaan ke Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan hingga 2025 – MoT

KKIA.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan terus melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan sempena musim perayaan utama bagi 2024 dan 2025.

MoT dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan bantuan itu adalah bagi perayaan Krismas tahun ini, manakala untuk tahun depan pula sambutan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai serta Krismas.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan ditambah baik dengan pemberian subsidi harga tiket penerbangan sehala kepada setiap penumpang bagi laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiket yang berharga lebih RM499.

“Harga ini tidak termasuk cukai dan fi. Penetapan harga maksimum RM499 ini adalah penurunan harga ambang ditetapkan sebelum ini, iaitu RM599,” menurut kenyataan itu sambil menjelaskan kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dengan harga maksimum berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, tempoh pelaksanaan inisiatif berkenaan juga akan dilanjutkan daripada tiga hari kepada empat hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan utama, iaitu bermula 21 hingga 24 Disember ini bagi Krismas, manakala bagi Tahun Baharu Cina pula dari 25 hingga 28 Januari depan.

Bagi sambutan Aidilfitri, tarikh pelaksanaan tambang maksimum sempena perayaan itu ditetapkan pada 27 hingga 30 Mac tahun depan, manakala bagi Kaamatan dan Gawai masing-masing bermula 26 hingga 29 Mei dan 28 hingga 31 Mei, dengan Krismas tahun depan pula ditetapkan dari 21 hingga 24 Disember.

Katanya, penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula jam 00.01 pada 6 Disember ini dan orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan mulai tarikh itu.

Antara terma dan syarat tiket ialah perubahan tarikh atau pertukaran penerbangan tidak dibenarkan dan hanya sah untuk tarikh atau penerbangan yang ditunjukkan pada tiket, selain tiada pertukaran nama dibenarkan dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan.

“Dalam hubungan ini, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambah baik serta ditawarkan sesetengah syarikat penerbangan. Bagaimanapun, pengguna akan tetap dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top