Subsidi tiket penerbangan komitmen kerajaan ringankan kos sara hidup rakyat – Armizan

armizan-papar.jpg

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (empat, kanan) ketika melakukan simbolik perasmian sambutan Platinum Jubilee Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph Papar.

Kongsi Bersama

PAPAR: Pemberian bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi perjalanan tiga hari sebelum perayaan membuktikan komitmen tinggi kerajaan bagi meringankan isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bantuan tiket penerbangan kedua yang dilaksanakan selepas Flysiswa, dan inisiatif itu adalah sebahagian daripada agenda kerajaan bagi menangani isu kos sara hidup dalam sektor pengangkutan.

Beliau berkata agenda menangani isu kos sara hidup rakyat diselaras melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) diurussetiakan Sekretariat NACCOL di kementeriannya dengan strategi serta pendekatan yang merentasi pelbagai kementerian dan agensi.

“Agenda menangani kos sara hidup digerakkan di bawah beberapa kluster seperti perumahan, pendapatan dan pengangkutan. Setiap kluster ini dianggotai pelbagai kementerian dan agensi.

“Pemberian subsidi tiket penerbangan ini adalah inisiatif terbaru kluster pengangkutan dilaksanakan oleh dan melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan satu majlis perjumpaan di Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph di sini malam tadi.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu akan dimulakan semasa sambutan Krismas tahun ini dengan pembelian bermula pada 12.01 tengah malam ini untuk perjalanan tiga hari sebelum perayaan iaitu 22, 23 dan 24 Dis.

Loke berkata dasar sama akan diteruskan tahun depan bagi perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas dengan pembelian tiket dibuka pada 12.01 tengah malam 1 Jan 2024.

Armizan juga berkata bantuan tiket penerbangan semasa sambutan Krismas adalah projek perintis untuk inisiatif seumpamanya pada perayaan lain bagi melihat keberkesanan, prosedur pelaksanaan, kos dan pelbagai faktor yang terlibat dalam usaha meneruskan inisiatif itu selepas ini.

“Selepas ini kita lihat balik semua faktor itu bagi membolehkan inisiatif ini berjalan lancar dan memberi banyak faedah kepada rakyat kita.

“Saya harap rakyat jangan lepaskan peluang ambil bantuan yang diberikan kerajaan ini untuk pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada perayaan nanti,” katanya.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top