KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat di sini kelmarin digegarkan dengan pertanyaan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berhubung subsidi bekalan elektrik di Sabah.
“Apakah komitmen lain seperti bantuan kepada negara asing itu lebih penting daripada bekalan elektrik berbanding negara kita sendiri?
“Bukankah masalah Sabah itu juga adalah masalah nasional negara kita?
“Bekalan elektrik ini bukan sahaja keselamatan tenaga tetapi adalah adalah keselamatan negara.
“Bayangkan apakah yang akan terjadi dengan pasukan keselamatan, sistem perubatan dan kesihatan, operasi lapangan terbang, bekalan air, sistem telekomunikasi, sistem pengangkutan dan operasi seluruh sistem penyampaian kerajaan tanpa bekalan elektrik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025.
Madius yang juga Pengerusi Sabah Electricity memaklumkan, beliau telah menerima surat daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memaklumkan subsidi elektrik Sabah tahun 2024 disalurkan sebagaimana yang telah diluluskan dalam belanjawan 2024.
Dalam surat itu katanya, keperluan subsidi elektrik Sabah tahun 2024 berjumlah RM866 juta tidak dapat dipertimbangkan kerana Kerajaan Persekutuan sedang mengalami kekangan dari segi fiskal dan kewangan.
“Pada Pembentangan Bajet 2025, komitmen Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Pelan Tujuh Tahun Transformasi Sabah Electricity 2030 juga tidak ada disebut.
“Namun dalam Belanjawan 2024, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan komited meneruskan pemberian Sokongan Subsidi Tarif (TSS) sehingga enam tahun yang akan datang.
“Pemberian bantuan TSS ini sangat kritikal kerana jumlah kos penjanaan Sabah Electricity adalah 43 sen seunit elektrik tetapi tarif yang diluluskan kerajaan sejak tahun 2014 hanyalah 34 sen seunit elektrik.
“Sabah Electricity kerugian 10 sen dan selama ini kerugian tersebut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan. Dengan cara ini Sabah Electricity masih boleh beroperasi,” katanya.
Wakil rakyat yang berasal dari Kampung Lokos Kiulu itu menegaskan, tanpa subsidi tersebut Sabah Electricity hakikatnya sudah lama bankrap.
“Oleh itu, Tuaran minta supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan drastik tersebut.
“Harus diingat bahawa tarif elektrik adalah keputusan kerajaan dan bukannya keputusan syarikat utiliti seperti Sabah Electricity,” ujar Madius. – Nabalu News