PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang membuka kertas siasatan berhubung isu dua video tular mengenai ‘pembuli jalanan’, yang berlaku di Jalan Putatan, di sini.
Dua video berdurasi 3 minit 35 saat dan 4 minit 3 saat itu dipercayai dimuat naik oleh pasangan youtuber di sosial media pada 24 Oktober lalu.
Kedua-dua video itu memaparkan perilaku pemandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sedang membuli pemandu kereta jenis Proton Pesona.
Malah, dalam rakaman itu juga memaparkan pemandu Perodua Myvi menggunakan senjata dipercayai besi memukul Proton Pesona hingga bahagian depan kenderaan itu rosak.
Pemandu Proton Pesona, yang juga seorang Youtuber cuba keluar dari kenderaan, namun dihalang oleh isterinya yang juga seorang Youtuber.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, susulan video tular itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang menjalankan siasatan dan memanggil pemilik akaun media sosial terbabit ke balai polis untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Katanya, hasil siasatan polis mendapati, video itu dimuat naik semata-mata sebagai ‘content’ (kandungan) di media sosial bagi meraih jumlah ‘viewer’ (penonton) yang tinggi.
“Berikutan itu, satu kertas siasatan polis dibuka mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Mohd Haris juga mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dalam memuat naik kandungan dan berkongsi di media sosial, yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat. – BH Online