TANJUNG ARU: Penyewa Rumah Pangsa Tanjung Aru perlu mengosongkan bangunan yang mereka diami itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.
Ini antara sebab utama, mereka diarahkan untuk mengosongkan bangunan berkenaan dan notis sudah pun diberikan sejak tahun lalu berikutan keadaan struktur bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami.
Pagi semalam, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB), Datuk Masiung Banah hadir bagi menyaksikan perpindahan penduduk seperti yang telah dirancang tujuh bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, proses perpindahan itu mendapat bantahan sebahagian besar daripada penyewa, kerana mereka mendakwa bahawa surat butiran penuh mengenai perumahan itu tidak lagi selamat untuk didiami perlu dilampirkan bersama.
Masiung yang diminta menjelaskan perkara itu berkata, LPPB sebagai pemilik penuh rumah pangsa PPR berkenaan sudah pasti tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku pada kemudian hari berikutan usia bangunan tersebut sudah menjangkau lebih 50 tahun dan pihaknya tidak mahu dipersalahkan jika berlaku kejadian runtuhan atau sebagainya.
“Sebenarnya keputusan ini bukannya keputusan saya sendiri, malah ia pernah dibuat kerajaan sebelum ini, dan saya hanya meneruskan tugas itu.
“Saya tidak sewenangnya membuat keputusan ini, melainkan sudah berpuas hati dengan penilaian pihak JKR serta nasihat dari pihak pentadbiran LPPB,” ujarnya.
Menurutnya, pihak LPPB pernah menawarkan kepada mereka untuk berpindah menyewa di beberapa perumahan PPR milik LPPB di kawasan lain namun para penduduk yang terlibat menolak dengan alasan mahukan perumahan di kawasan yang berhampiran sahaja.
Selepas memberikan kenyataannya, Masiung menerima surat bantahan daripada penduduk yang terlibat dan diserahkan sendiri kepada beliau, sambil memohon maaf dengan segala apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Masiung menegaskan bahawa sudah tidak ada lagi perlanjutan tempoh pemindahan melainkan hanya menunggu keputusan penuh dan sepanjang tempoh berkenaan pihak LPPB tidak akan mengutip sewa.
Turut hadir, Pengurus Besar LPPB Rosemary Ahping serta pegawai penguatkuasa DBKK dan beberapa kakitangan LPPB.