TUARAN : Kawasan Parlimen Tuaran merupakan antara kerusi yang menjadi sasaran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15.
Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Alfred Angin berkata kawasan itu telah disenarai pendek untuk ditandingi parti itu seperti yang dikehendaki oleh presiden Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
“Kini tiba masanya untuk pemimpin parti di pelbagai peringkat memikul tanggungjawab melaksanakan peranan tanpa mengharapkan sepenuhnya tanggungjawab itu dilakukan oleh pihak lain,” katanya.
Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Mini STAR P.170 Tuaran anjuran Wiranita dan Wiramuda di Dewan Linangkit, Kampung Budaya, Kg Selupoh pada Isnin.
Dalam konvensyen mini sehari itu, tujuh topik dibahaskan peserta membabitkan pelaksanaan IC Sabah, Undi 18, peranan wanita dalam kerajaan dan pencalonan STAR mewakili GRS di kawasan parlimen Tuaran.
Debat yang dikendalikan oleh Naib Presiden Dr Paul Porodong itu diadakan oleh Wiranita dan Wiramuda untuk membincangkan kepentingan parti dan menyokong kepimpinan STAR.
Semasa merumuskan perbahasan, Paul, yang juga Pengarah Strategik STAR, mengumumkan bahawa resolusi utama konvensyen mini itu adalah untuk meminta STAR bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.
Mini konvensyen itu dihadiri wakil empat bahagian STAR dalam kawasan parlimen Tuaran membabitkan Tamparuli, Kiulu, Sulaman dan Pantai Dalit.
Mengulas resolusi itu, Setiausaha Agung STAR Edward Linggu Bukut berkata resolusi itu adalah kesinambungan tradisi di mana parlimen Tuaran diwakili pemimpin bumiputera bukan Islam daripada parti tempatan.
Lagipun, katanya “mengikut konsep Keluarga Malaysia, adalah wajar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah Sabah sekarang memberi ruang kepada STAR untuk mewakili salah satu kerusi di Tuaran”.
Empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Tuaran kini diwakili oleh PBS (Kiulu dan Tamparuli), PPBM (Sulaman) dan Umno (Pantai Dalit).
Tambah Linggu, jentera pilihan raya STAR yang digerakkan membantu calon gabungan di empat kawasan pada Pilihan Raya Negeri lalu kini semakin mantap bagi memastikan kemenangan di kerusi parlimen Tuaran.
Turut hadir Naib Presiden STAR Kapitan Stephen Teo, Ketua Wiramuda Kong Soon Choi dan ketua-ketua bahagian STAR Kiulu, Tamparuli, Sulaman dan Pantai Dalit.
Bersatu dan Umno turut mempertaruhkan tuntutan terhadap kerusi panas yang disandang Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang pada pilihan raya umum sebelum ini di bawah tiket Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh 22,494 undi.
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tuaran Datuk Abdul Kassim Razali percaya bahagian itu berada di landasan betul untuk memenangi kerusi itu berdasarkan kekuatan akar umbinya.
“Melihat kepada pengaruh, sokongan dan kekuatan Bersatu di Tuaran, sudah tiba masanya parti ini meletakkan calonnya di sini (di kerusi parlimen) pada pilihan raya akan datang,” kata Abdul Kassim dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Ahad, Ketua Umno Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata ia adalah masa paling sesuai untuk parti itu bertanding di kerusi itu.
“Upko tidak lagi dalam BN, jadi ini adalah peluang terbaik untuk Umno menawarkan diri supaya kita boleh menjadi suara rakyat di Parlimen. Saya yakin ramai pengundi di Tuaran mahukan pertukaran wakil rakyat mereka (di Parlimen) dan memandangkan mereka masih belum menguji kemampuan Umno, mungkin inilah masanya untuk mereka berbuat demikian,” kata Abdul Rahman selepas merasmikan persidangan perwakilan tahunan Umno Bahagian Tuaran..
Kerajaan GRS terdiri daripada PN (terdiri daripada Bersatu, STAR dan SAPP), BN dan PBS.
Sumber: Borneo Post