TAMBUNAN: Kerusi DUN Tambunan adalah milik parti STAR Sabah walaupun ada permintaan agar ia dikembalikan kepada PBS, kata seorang pemimpin parti itu.
Ketua STAR Sabah Bahagian Tambunan Patrick Paunil (gambar) berkata ini kerana kerusi tersebut dimenangi oleh penyandangnya Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada pilihan raya umum (PRU14) yang lalu.
“Tambunan akan dipertahankan oleh STAR walaupun ada desas-desus kurang sihat bahawa kerusi itu harus dikembalikan (ke PBS). Ini adalah sesuatu yang tidak sesuai kerana senario politik semasa berbeza, ”kata Patrick.
DUN Tambunan dimenangi oleh Dr Jeffrey yang juga Presiden STAR Sabah selepas mengalah abangnya, Tan Sri Pairin Kitingan dengan majoriti 1,039 undi.
Pairin yang merupakan pengasas PBS sebelum itu merupakan adun Tambunan selama 42 tahun selepas memenanginya pada tahun 1976.
Bekas presiden PBS yang telah bersara dari politik itu baru-baru ini menyarankan agar PBS bertanding di Tambunan, yang merupakan tempat kelahiran parti itu.