KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan terus bersama Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu diikrarkan oleh presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam ucapannya pada majlis perhimpunan sulung PN di Pusat Konvensyen Sabah, di sini, malam ini.
Dalam ucapannya, Jeffrey memberi jaminan bahawa beliau akan terus menyokong dan berdiri teguh bersama PN.
“Saya berdiri di sini hari ini kerana saya menyokong PN. Kadang kala saya berbuat bising kerana ingin menyatakan keprihatinan rakyat dan buat pertama kalinya, saya percaya kepemimpinan di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh PN adalah adil dan menghormati hak-hak rakyat Sabah. Itulah sebabnya saya menyokong PN.
“Dalam pilihan raya negeri Sabah, kita perlu berjuang sebagai satu pasukan. Pasukan kami perlu kuat menentang lawan. Saya yakin bahawa kerajaan di bawah PN akan disokong oleh rakyat dan akan menang dalam pilihan raya negeri Sabah pada 26 September, ”tambahnya.
Majlis perhimpunan PN itu melakar sejarah apabila dihadiri oleh semua pemimpin utama dan penyokong parti komponennya di Sabah. Pada majlis itu PN turut memperkenalkan bendera dan logonya.
Selain Jeffrey, pemimpin lain yang hadir pada majlis itu ialah Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim.
Semasa berucap pada majlis itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau teruja melihat ramai penyokong PN di perhimpunan itu yang menunjukkan bahawa gabungan PN disambut baik oleh rakyat Sabah.
Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya menegaskan bahawa beliau mahu semua pemimpin PN bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah kali ini untuk memastikan bahawa perjuangan untuk mengambil alih pemerintahan Sabah berjaya.
“Yang penting, kita mengatur pembahagian kerusi dengan baik. Sekiranya kita bertelagah, kita akan menghadapi masalah. Oleh itu, kita perlu mengambil kesempatan ini untuk bersatu dalam PN. Kita perlu menukar kerajaan negeri kerana kita mahu Sabah berada sehaluan dengan kerajaan pusat, “katanya.
Sementara itu, Yong mengatakan PN akan membawa harapan baharu kepada rakyat Malaysia di Sabah. –