STAR Terima Baik Penyertaan Parti KDM Dalam GRS

Dr-Jeffrey-1.jpg

Dr. Jeffrey Kitingan (tengah) bersama pendaki-pendaki yang mewakili Malaysia ke Gunung Everest semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menerima baik hasrat Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mahu menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kemasukan rakan baharu dalam GRS akan memperkukuhkan lagi kerajaan sedia ada.

“Saya melihat ini sebagai satu cara yang boleh memperkuatkan kerajaan kerana kita ingin melihat kesatuan pemimpin-pemimpin parti dalam GRS.

“Bagi saya, tiada masalah  untuk parti di bawah pimpinan Peter Anthony menyertai GRS kerana ia akan memperkukuhkan gabungan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022 hari ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, hasrat penyertaan parti KDM ke dalam GRS akan dibincangkan semasa mesyuarat GRS yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Dr. Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, beliau turut bersetuju dengan pendirian Parti Bersatu Sabah (PBS) bahawa kerjasama parti-parti dalam GRS perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum menerima rakan kongsi baharu.

Walau bagaimanapun, ada kebaikannya sekiranya GRS menerima permohonan parti KDM itu dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan GRS di negeri ini.

“Namun, kita kena juga mendengar pandangan pemimpin-pemimpin lain dalam GRS,” katanya.

Pada Isnin, Peter, yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, beliau akan memohon menyertai GRS sebaik sahaja gabungan terebut didaftarkan sebagai gabungan politik yang rasmi.

Namun, hasrat berkenaan seolah-olah tidak diterima baik oleh PBS apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai secara jelas menyatakan GRS tidak harus tergesa-gesa menerima rakan baharu yang belum diketahui kesetiaan parti tersebut.

Sebaliknya, Joniston mahu gabungan itu memberi fokus mengukuhkan kerjasama antara parti-parti sedia ada sebelum mempertimbangkan penyertaan rakan kongsi baharu. – Utusan Malaysia


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top