STAR Teguh Sokong Muhyiddin Sebagai PM

dr-jeffrey-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetap teguh menyokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih sah Perdana Menteri walaupun terdapat tekanan untuk memaksa beliau berundur.

“Muhyiddin masih Perdana Menteri di bawah Perlembagaan. Parlimen akan bersidang pada September ini dan semua ahli Parlimen berpeluang menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga melihat tuduhan Perdana Menteri menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak berasas dan sangat mengganggu pada ketika semua pihak, baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang sepatutnya bekerjasama memerangi COVID-19.

Jeffrey berkata, usaha kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 terganggu akibat gangguan politik berterusan sehingga melemahkan usaha pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang dijadualkan.

“Pembangkang harus memberi kerajaan peluang untuk melaksanakan pelan pemulihan ini,” katanya turut menggesa pembangkang berhenti bermain politik agar tidak terus menganggu usaha kerajaan melaksanakan pelbagai pelan pemulihan bagi membendung COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, hampir 20,000 kes COVID-19 dikesan di Malaysia semalam dan dijangka terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

Katanya, sepanjang empat hari persidangan di Parlimen minggu lalu, pembangkang dilihat tidak menyumbang apa-apa kepada perancangan membendung COVID-19.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen tidak berbelah bagi kerajaan untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi demi kebajikan rakyat,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top