STAR Tanding 15 Kerusi, Jeffrey Pertahan Tambunan

star-1.jpg
Kongsi Bersama

TAMBUNAN: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bakal bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, selain itu tiga lagi kerusi masih dibincangkan bersama rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan dijangka selesai sebelum pengumuman calon pada Selasa atau Rabu ini.

“STAR pada mulanya meminta sebanyak 18 kerusi dan kita sudah dapat 15. Bagi tiga kerusi lagi masih dibincangkan kerana ada pertindihan dengan rakan parti lain,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin Bersama Warga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Beliau bagaimanapun belum mahu mendedahkan senarai penuh kerusi lain yang akan ditandingi parti itu.

“Kita akan umumkan nanti serentak dengan pengumuman calon yang bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

PN bersama Barisan Nasional (BN) dijangka membuat pengumuman calon pada Selasa atau Rabu ini.

Selain Tambunan, STAR turut menyandang kerusi DUN Bingkor, kedua-duanya dalam Parlimen Keningau.

Sebelum ini, Jeffrey turut mengumumkan akan bertanding di Paginatan, Ranau dan meletakkan penyandang kerusi itu, Datuk Abidin Madingkir yang menyertai STAR bulan lalu selepas meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), akhir Julai lalu.

Satu lagi kerusi yang dituntut STAR ialah Sook, berdasarkan kedudukan kerusi itu kini disandang pemimpinnya, Datuk Ellron Angin yang menyertai parti itu selepas meninggalkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 2018.

Penamaan calon PRN Sabah dijadualkan pada 12 September, diikuti pengundian awal pada 22 September dan pengundian biasa pada 26 September.-HM

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top