KOTA KINABALU: STAR Semenanjung menzahirkan sokongan padu atas kenyataan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang merancang untuk menggazetkan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Sabah.
Pengerusi STAR Semenanjung Datuk Iskandar Abdul Malik berkata, rancangan ini adalah berita gembira bagi rakyat Sabah dan dianggap sebagai salah satu langkah untuk merealisasikan tuntutan hak-hak lain khususnya tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ironinya, tarikh itu bertepatan dengan tarikh Persekutuan Malaysia merayakan Hari Kebangsaan iaitu 31 Ogos di mana kita semua meraikannya saban tahun.
“Pada tarikh yang sama, Sabah juga boleh merayakan sambutan Hari Sabah (31 Ogos 1963) sekaligus merayakan bersama Hari Kebangsaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Katanya, Setiap rakyat Sabah harus menyokongnya dan jangan mempolitikan kerana ianya melibatkan maruah dan martabat Sabah sebagai salah sebuah dari tiga wilayah di dalam Persekutuan Malaysia.
Katanya, sebagai warga Sabah dan rakyat Malaysia, semua perlu bersatu padu tanpa mengira fahaman politik atau perbezaan suku kaum dan agama.