KOTA BELUD: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kota Belud sejak awal lagi bersedia bertanding di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat di dalam kawasan Parlimen Kota Belud semasa pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
Bendahari Agung STAR Rubbin Guribah yang juga Ketua Bahagian Kadamaian berkata pada masa itu STAR bagimanapun tidak diberi peluang dan mereka akur dengan keputusan persafahaman di peringkat parti-parti dalam GRS mengenai agihan kerusi dan seterusnya telah bekerjasama, bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan calon-calon GRS.
“Kami Ketua -Ketua Bahagian Parti STAR yang termasuk di dalam kawasan Kota Belud menyambut baik serta amat berharap kenyataan Setiausaha Agung Parti STAR Senator Datuk Guandee Kohoi bahawa STAR akan bertanding di lapan kawasan parlimen termasuk Kota Belud akan menjadi kenyataan.
“Kumpulan itu termasuklah Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua Bahagian Pintasan Datuk Seri Raplin Samat, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Tempasuk Suwah Bulleh serta Ketua Bahagian Usukan Hamid Jamal,” katanya.
Sementara itu Suwah yang mewakili keempat – empat Ketua Bahagian mengatakan bahawa mereka sudah mengadakan perbincangan tentang kewajaran mengapa STAR mesti diberi peluang bertanding pada PRU akan datang ini disebabkan beberapa perkara.
“STAR sudah memberikan komitmen yang tinggi serta semangat setiakawan. Tindakan ini juga menunjukkan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk memastikan kemenangan calon-calon GRS semasa PRN yang lalu.
“Kami juga mempunyai kekuatan dan sokongan di peringkat akar umbi dalam kawasan DUN dan yakin akan menang.
“Disebabkan tidak diberi peluang bertanding semasa PRN yang lalu, STAR di Kota Belud tidak diwakili mana-mana wakil yang ada dalam kerajaan sekarang,” katanya. – Utusan Borneo