STAR Minta Kerajaan Persekutuan Beri Subsidi Racun Rumpai

Robert-Tawik-and-Dr-Paul.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memberikan subsidi pembelian racun rumpai ekoran kenaikan harga yang membebankan petani akibat kesukaran memperoleh bekalan dari pengilang utama dunia.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, kenaikan harga berlaku disebabkan penurunan produksi sehingga mengakibatkan kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Masalah bekalan racun rumpai kini menjadi isu global yang mana beban yang ditanggung pekebun di negara ini perlu ditangani bersama Kerajaan Persekutuan melalui dasar import,” kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah memberitahu, di Sabah, Kementerian Pertanian dan Perikanan yang diterajui Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, menjadi sasaran pekebun meminta harga racun rumpai diturunkan ke paras normal.

Dalam kenyataannya pada 26 Sept 2021, Dr. Jeffrey yang juga Presiden STAR menyatakan kenaikan harga bahan-bahan pertanian disebabkan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan pengeluaran pengilang utama di India dan China.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengawal harga bahan-bahan pertanian yang meliputi racun rumpai, baja, dan bahan kimia pertanian lain.

Sementara itu, Naib Presiden STAR, Dr. Paul Porodong yang melakukan tinjauan ke atqs pengeluaran semua jenis racun rumpai (glyphosate) dunia mendapati kenaikan mendadak harga turut disebabkan penurunan pengeluaran di China dan Texas, Amerika.

Beliau yang juga Pengarah Strategik STAR berkata, penurunan pengeluaran glyphosate di China antara lain disebabkan pandemik Covid-19, pelaksanaan perintah berkurung, banjir besar Sungai Yang Tze, pembelian panik dan keutamaan bekalan dalam negara berkenaan.

Dr. Paul menambah, krisis elektrik di Texas, Amerika pada Feb 2021 turut menyumbang kepada penurunan pengeluaran racun rumpai apabila gas asli yang menjadi komponen utama pengilangan lebih banyak disalurkan kepada awam.

Jelas beliau, penurunan pengeluaran racun rumpai di Texas telah menjejaskan eksport ke Amerika Selatan sehingga memaksa negara-negara di benua itu beralih ke China mendapatkan bekalan yang pada masa ini sangat terhad. – Warta Oriental

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top