STAR Kecewa PBS ‘Langgar’ Kawasan

JeffreyKitingan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kecewa dengan tindakan Parti Bersatu Sabah (PBS) melanggar persetujuan yang dicapai di antara kedua parti itu bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kedua-dua parti sebelum ini bersetuju membahagi kawasan bertanding dengan PBS diberikan 15 kerusi, manakala STAR sebanyak lapan kerusi.

Bagaimanapun, katanya PBS mungkir janji apabila turut menurunkan calon di kerusi lain termasuk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambunan yang ditandinginya.

“Sebagai rakan Perikatan Nasional (PN), STAR sebelum ini berbincang dengan PBS dan kita bersetuju daripada 24 kerusi yang diperuntukkan kepada kedua-dua parti, iaitu PBS dan STAR, ia sepatutnya dibahagi sama rata, masing-masing dapat 12 kerusi.

“Namun, mereka monopoli juga dan dapat 15 kerusi, kita (STAR) dapat lapan kerusi saja. Saya kecewa, sudahpun dapat 15 dan berjanji tidak kacau tetapi mereka (PBS) langgar juga termasuk di Tambunan.

“Inilah satu tanda parti ini tidak menghormati rakan kongsi atau perjanjian dan persetujuan dicapai sebelum ini, saya tidak perlu sebut tetapi apabila saya lihat ada pula dia dicalonkan,” katanya dalam satu majlis di Tambunan, semalam.

Selepas penamaan calon semalam, PBS yang juga rakan PN dilihat menurunkan calon di 22 kerusi berbanding 15 yang diumumkan sebelum ini, kebanyakannya di kawasan yang ditandingi STAR.

Selain di Tambunan, kedua-dua parti itu turut bertembung di Moyog, Paginatan, Bingkor, Liawan dan Tulid.

PBS turut bertembung dengan Umno di Bengkoka, Lumadan dan Melalap selain dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di Matunggong dan Kadamaian serta dengan MCA di Luyang dan Karamunting.

Jeffrey berkata, memandangkan ia sudah berlaku, STAR akan berkempen menentang PBS dan parti lawan lain serta meminta pengundi dan penyokong di kawasannya bersolidariti untuk memenangkan parti itu saja.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Maleh dalam kenyataannya berkata, pihaknya menyifatkan pertembungan sesama rakan PN sebagai `pertandingan mesra’ dan sudah menjangkakan ia akan berlaku di beberapa kerusi yang dianggap kubu kuat PBS berdasarkan pilihan raya lalu.

Katanya, perkara itu dibangkitkan dalam beberapa perjumpaan mengenai agihan kerusi dengan PN.

Beliau berkata, PBS juga mengambil kira kenyataan Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mengenai kemungkinan ada kerusi yang bertindih dengan parti lain dalam gabungan berkenaan.

“Daripada 15 kerusi yang diagihkan kepada PBS, tiga kerusi turut ditandingi PBRS iaitu di Matunggong, Tandek dan Kadamaian, malah Umno turut bertanding melawan PBS di Melalap dan Bengkoka.

“Kita sedar pertandingan perlu dilakukan ke arah mengukuhkan kedudukan PN di Sabah tetapi selepas membuat analisis di kawasan Kadazandusun Murut (KDM) dan berdasarkan permintaan akar umbi kita memutuskan memasuki `pertandingan mesra’ di Tulid dan Paginatan, selain Moyog, Bingkor, Tambunan dan Liawan,” katanya.

Katanya, selain kerusi KDM, PBS turut membuat keputusan bertanding di kawasan Bumiputera Islam berdasarkan permintaan akar umbi di Lumadan yang sebelum ini diagihkan kepada BN-Umno.

Jelasnya, PBS sudah berusaha mengelak pertembungan dengan komponen PN namun ia juga sedar perkara itu amat sukar pada ketika ini.

“Secara keseluruhan, kita menganggap ini sebagai pertandingan mesra. Apa yang penting ialah komponen PN dapat memenangi semua kerusi,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top