KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bahagian Bingkor akan mengadakan kempen pengambilan ahli baharu bermula bulan ini, kata Ketua Bahagian STAR Bingkor Datuk Robert Tawik.
Sehubungan itu beliau meminta supaya Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) mengerakkan jawatankuasa masing-masing bagi menjayakan kempen tersebut.
“Sasaran kita adalah pengundi baharu yang belum menyertai mana-mana parti politik,” kata Robert ketika mempengerusi mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua Biro Bahagian Bingkor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Robert yang juga Timbalan Presiden STAR turut meminta agar pemimpin parti di kawasan Bingkor supaya giat turun padang menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.
“Rakyat di kawasan masing-masing perlu dilayan sama rata tanpa mengira apa fahaman dan parti politik yang disertai.
“Sekarang masa kita bekerja, mendengar permasalahan dan membantu apa yang dapat diberikan dan termampu.
“Mana-mana permasalahan yang memerlukan pihak-pihak yang berkenaan, pemimpin-pemimpin boleh membantu menyampaikan kepada yang berkenaan, ” kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor. – Utusan Borneo