KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan menyusun buku rujukan tentang Perjanjian Malaysia (MA63), Perjanjian 20 Perkara, Borneonisasi dan Sejarah Perjuangan Presiden parti itu memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, pucuk pimpinan parti mengambil pendekatan tersebut sesuai dengan cadangan-cadangan yang dibahaskan para perwakilan dalam perbahasan ucapan dasar presiden.
“Kita menerima baik cadangan-cadangan para pembahas yang meminta agar bahan rujukan tersebut disusun untuk dipelajari dan dihayati oleh kalangan pemimpin parti di pelbagai peringkat,” katanya.
Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian dalam sesi penggulungan perbahasan ucapan dasar presiden sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Kedua di Sokid Villa pada lewat petang Khamis (21 Oktober).
Seterusnya Dr Jeffrey mengambil perhatian serius terhadap desakan para perwakilan yang meminta agar STAR menurunkan lebih ramai calon bertanding untuk memenangi lebih banyak kerusi bagi menyuarakan hak-hak Sabah di Parlimen.
“Ini termasuklah desakan mencalonkan lebih ramai calon wiranita dan wiramuda bertanding atas tiket parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan.