KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah akan melancarkan jentera pilihan raya umum parlimen peringkat negeri pada 1 Julai ini sempena sambutan ulang tahun keenam parti itu.
Setiausaha Agungnya, Edward Linggu, berkata jentera pilihan raya itu akan dilancarkan oleh presiden parti Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, yang meliputi 25 kawasan parlimen, bagi mengukuhkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“STAR juga menumpukan kepada penyediaan jentera pilihan raya di kawasan yang akan ditandingi calon parti atas tiket GRS,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas menyambut kepulangan Jeffrey dan rombongannya dari London pada malam Isnin.
Turut hadir ialah timbalan presiden STAR Datuk Robert Tawik dan naib presiden Kapitan Stephen Teo.
Linggu turut memaklumkan, sempena pelancaran di Dewan Masyarakat Keningau, pelbagai teras perjuangan parti yang telah dicapai akan dipaparkan kepada hadirin bagi menunjukkan komitmen STAR terhadap perjuangan membela rakyat.
Pelancaran jentera pada pukul 9 pagi itu akan dihadiri ahli majlis tertinggi, Wiramuda dan Wiranita, ketua biro, penyelaras, ketua bahagian serta ahli jawatankuasa dari seluruh negeri.
Menurut Linggu, Jeffrey dijangka mengukuhkan lagi komitmen parti untuk meningkatkan kewangan Sabah daripada sumber dalaman dan persekutuan, menyelesaikan isu warga asing, menambah bekalan keperluan harian dan mempelbagaikan peluang pekerjaan.
Linggu, yang juga pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah, berkata lawatan kerja Jeffrey dan delegasi kerajaan Sabah ke London untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan berkaitan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 telah membuahkan hasil positif dalam memperoleh lebih banyak sumber kewangan dan kuasa dalam persekutuan.
Sumber: The Borneo Post