Stampa dipenjara bukti tuntutan waris Sulu tak berasas kata Hajiji

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara enam bulan ke atas penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa kerana menghina mahkamah merupakan bukti jelas bahawa tuntutan oleh kumpulan mengaku waris Sulu terhadap Sabah tidak berasas sama sekali, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Jelas beliau, terdapat unsur-unsur mencari keuntungan serta kemudahan yang lain dalam tuntutan oleh kumpulan itu dan Stampa yang bertindak selaku penimbang tara dalam tuntutan berkenaan.

Beliau berharap tiada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab mempergunakan negeri Sabah untuk membuat apa-apa tuntutan yang tidak berasas sepertimana dilakukan kumpulan Sulu itu.

“Berbanyak terima kasih kepada Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan kerajaan Persekutuan.. telah terbukti tuntutan kumpulan Sulu ini tidak berasas,” katanya di Kota Kinabalu, lapor Bernama pada Selasa.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Perjanjian Induk (ENG: Heads of Agreement) daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) kepada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) bagi pembekalan gas asli sebanyak 150 juta kaki padu standard sehari.

Kelmarin, Azalina dilaporkan berkata Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol.

Mahkamah turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata usaha kerajaan menoktahkan tuntutan kumpulan Sulu dan hukuman penjara terhadap Stampa amat membantu dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.

Menurutnya, apa yang dilakukan kumpulan berkenaan sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dalam kalangan pelabur terutamanya yang berminat untuk melabur di kawasan pantai timur negeri itu.

Beliau berkata satu demi satu kejayaan dicapai oleh Malaysia dalam pertelingkahan dengan Kumpulan Sulu itu, yang mengembalikan keyakinan pelabur, dan beliau berharap Azalina dapat mencapai kemenangan mutlak dalam isu tuntutan itu, sekali gus menghapuskan sebarang kebimbangan mengenai soal keselamatan.

“Jadi kita boleh tarik lebih ramai pelabur terutama dari luar negara untuk datang ke pantai timur Sabah, pantai barat Sabah kita banyak dapat maklum balas positif, tetapi pantai timur kita perlu kerja lebih keras lagi (tarik pelabur),” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top