KOTA KINABALU: Surat Setuju Terima (SST) bagi keseluruhan 19 pakej projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B melibatkan jajaran 366 kilometer, dijangka selesai dikeluarkan pada Mac tahun depan, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Selasa.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata daripada jumlah itu SST bagi empat pakej kerja dijangka dikeluarkan menjelang hujung tahun ini, manakala 15 lagi SST dijangka selesai dikeluarkan pada Mac tahun depan.
“Kerajaan negeri juga komited untuk menyelesaikan proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek (Lebuh Raya) Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan melibatkan kos RM15.7 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) berhubung strategi dilaksanakan kerajaan dalam menyelesaikan masalah prasarana dan infrastruktur keperluan asas rakyat.
Abidin berkata bagi usaha mengatasi masalah bekalan air, kerajaan negeri sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk pembinaan empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom dan empangan di Kaiduan, Papar.
Menurut beliau sekiranya kedua-dua projek berimpak besar itu direalisasikan kelak, ia mampu menampung keperluan terutamanya penduduk Sabah untuk 100 tahun bagi kawasan utara, tengah dan selatan Kota Kinabalu.
“Ini termasuklah pedalaman bawah iaitu dari Kimanis, Bongawan, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan kawasan perindustrian Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT)dengan pelaksanaan secara berperingkat Loji Rawatan Air Fasa I untuk keperluan sehingga 2050,” katanya.
Beliau berkata bagi mengatasi masalah bekalan elektrik, projek sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Sarawak dengan jumlah kapasiti 30 hingga 50 MW sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2025.
“Langkah juga diambil untuk mengukuhkan sistem talian penghantaran grid Sabah melalui projek Talian Penghantaran Southern Link (TPSL) 275 kilovolt sepanjang 331 kilometeryang menghubungkan PMU (Pencawang Masuk Utama) Mengalong, Sipitang dan PMU Tawau,” katanya.
Projek itu katanya dalam proses rundingan dengan kerajaan Persekutuan untuk menentukan mekanisme pembiayaannya dan dijangka bermula tahun hadapan bagi memastikan ia siap pada 2030. – BERNAMA