SST 15 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dijangka dikeluarkan suku ketiga 2024 – Alexander

nanta.jpg

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 daripada 19 pakej kerja bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1B kini dalam proses penilaian akhir tender terbuka, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor terpilih bagi melaksanakan pakej kerja berkenaan dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata empat daripada pakej kerja bagi projek sejauh 366.8 kilometer itu telah dibuat pelantikan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

Katanya anggaran kos pembangunan bagi projek itu berjumlah RM13.99 bilion dan ia dibiayai secara hibrid menggunakan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan serta terbitan sukuk atau bon oleh DanaInfra Nasional Bhd.

“Berdasarkan unjuran kewangan semasa, peruntukan berjumlah RM400 juta telah disediakan untuk 2024 bagi kerja-kerja awalan,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Alexander berkata demikian bagi menjawab pertanyaaan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mengenai jenis kaedah perolehan terkini yang dibuat dan jumlah peruntukan bagi fasa 1B untuk tahun ini serta sumber pembiayaan projek berkenaan.

Mengenai soalan Isnaraissah tentang status terkini projek LPB Pakej Kerja 9 yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru yang mengambil masa lama, Alexander berkata ia adalah bagi memastikan kontraktor yang dipilih adalah mereka yang berkelayakan dan mampu melaksanakan pakej kerja berkenaan.

Beliau berkata proses penilaian akhir perolehan pakej kerja tersebut sedang dijalankan dengan SST dijangka akan turut dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini dengan jangkaan projek disiapkan dalam tempoh tiga tahun selepas penyerahan SST.

“Projek LPB Sabah adalah projek berimpak tinggi yang merupakan projek keutamaan Kementerian Kerja Raya (KKR). Justeru itu, KKR komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan mengikut perancangan, seterusnya dapat menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai faktor kelewatan pelaksanaan projek LPB di Sarawak berbanding Sabah, Alexander berkata ia antara lain disebabkan isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta pemilihan kontraktor.

“Saya mohon kerjasama daripada pemimpin-pemimpin dari Sabah untuk kita bersama selesaikan dengan terbaik Fasa 1B ini,” katanya.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top