SSL rendah punca beras tempatan tiada di pasaran Sabah

beras-malaysia.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tahap sara diri (SSL) beras tempatan yang hanya mencapai kurang 23 peratus punca Sabah kekurangan bekalan selepas ia mula menjadi pilihan rakyat Sabah susulan kenaikan harga beras import sejak awal bulan ini.

Pengarah Kawal Selia Padi Dan Beras Sabah, Ab Alim Multazam berkata, mengikut data Pembayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) di negeri ini pada 2022 hanya mencapai pengeluaran sebanyak 30,570 metrik tan padi untuk setahun dan sehingga Ogos lalu hanya 18,755 metrik tan padi berjaya dikeluarkan.

“Daripada jumlah rekod SSHP itu, semua padi yang diproses di 20 kilang di seluruh negeri ini hanya menampung untuk menghasilkan beras sebanyak 55 peratus.

“Apabila dibahagikan kepada 12 bulan, hanya sebanyak 1,250 matrik tan sebulan kegunaan beras di Sabah berdasarkan lebih tiga juta rakyat di Sabah dan secara peratusnya hanya 23 peratus pengeluaran beras tempatan di negeri ini.

“Jadi sebab itu beras tempatan Sabah sukar ditemui di pasaran,” jelasnya kepada Sinar Harian di pejabatnya, di sini pada Khamis.

Diminta mengulas mengenai isu harga beras tempatan yang tidak dikawal di Sabah, Ab Alim berkata, ia tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Kawalan Beras) 1974 dengan pindaan terakhir pada 2008.

“Memandangkan kadar penghasilan padi yang rendah di negeri ini, maka harga jualan bagi beras tempatan lebih tinggi dan tidak dikawal harganya.

“Ini disebabkan pengeluaran padi yang sedikit tetapi kos operasinya tinggi antara punca harga beras tempatan di Sabah tidak boleh dikawal dan ia ditentukan oleh pasarannya sendiri.

“Ia bertujuan untuk menyokong industri padi dan beras di Sabah supaya terus kekal mampan dan berdaya saing kerana terpaksa bersaing dengan beras import. Agensi ini bertanggungjawab memantau harga tersebut tetapi kita tidak mengawalnya kerana jika kita kawal, kilang tidak mahu beli padi dan industri padi tempatan kita akan bermasalah,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, susulan kenaikan harga beras import sejak tiga minggu lalu menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan yang kini lebih murah meningkat di Sabah.

“Harganya murah sedikit iaitu sekitar RM35 hingga RM36 berbanding beras import ketika ini sekitar RM38 untuk 10 kilogram.

“Malah beras tempatan Sabah mempunyai keistimewaannya sendiri dari segi kualiti dan permintaannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan program Smart Sawah Bersekala Besar (Smart SBB) yang terbukti dapat meningkatkan hasil padi melalui pengurusan yang bersistematik dan penggunaan teknologi terkini dalam mengusahakan sawah padi.

“Kerajaan telah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar padi di Sabah dan Sarawak bagi tujuan penanaman padi melalui peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Selain itu KPKM juga telah merencana program penanaman sawah berskala besar di Sabah sebagai usaha mengatasi kekurangan bekalan beras tempatan di negeri ini,” jelasnya. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top