KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, diyakini mampu mengemudi pentadbiran pembangunan kerajaan negeri Sabah dengan baik, kata bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said (SSK).
“Hajiji yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Sabah merupakan seorang tokoh politik yang berpengalaman luas. Saya yakin beliau mampu membawa Sabah ke era pembangunan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Terdahulu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepakat memilih Hajiji sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang ke-16.
Pengumuman itu dimaklumkan sendiri oleh Hajiji, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, dalam sidang akhbar selepas perjumpaan tertutup bersama pimpinan GRS.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman sejak 1990, berjaya mempertahankan kerusi DUN itu, selepas menang dengan majoriti 3,099 dalam Pilihan Raya DUN Sabah pada Sabtu lepas.
Hajiji dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri esok.
Sementara itu, seorang lagi bekas ketua menteri Sabah yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, menyifatkan Hajiji sebagai calon paling sesuai untuk menerajui kerajaan negeri Sabah.
“Datuk Hajiji cukup pengalaman pentadbiran, diterima semua lapisan masyarakat dan ada kualiti kepimpinan sebagai pemimpin politik,” katanya kepada Bernama.
— BERNAMA