SSK Minta Kerajaan Negeri Tangani Kemiskinan Digital

Salleh-Said-Keruak.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK) mahu kerajaan Sabah mencari penyelesaian terbaik kepada isu kemiskinan digital di negeri ini.

Ketika membuat seruan itu, beliau berkata kemiskinan digital merupakan satu keadaan serba kekurangan khususnya daripada segi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan masyarakat, sama ada dari segi kekurangan prasarana ICT ataupun kelemahan kemahiran ICT.

“Kemiskinan digital ini tidak semestinya berkaitan dengan soal kedudukan ekonomi seseorang. Seseorang itu mungkin sudah mempunyai kelengkapan ICT seperti komputer, telefon pintar dan sambungan internet yang pantas, tetapi masih dianggap miskin digital jika dia belum mahir menggunakan ICT dengan sebaiknya bagi urusan utama harian yang semakin banyak beroperasi secara dalam talian,” katanya.

Salleh berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Menurutnya perkara itu terjadi disebabkan masyarakat terlalu biasa dengan komunikasi bersemuka dan masih belum dapat mempraktikkan konsep ‘Bekerja-Dari-Rumah’ dan “Urus Niaga Dalam Talian”.

Beliau berpendapat isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerana ia akan memberi kesan ekonomi sebenar dan mengakibatkan Sabah ketinggalan lebih jauh dari arus pembangunan.

Sehubungan itu, Salleh berharap Kerajaan dapat merancangkan kaedah sewajarnya atau menyampaikan insentif bersesuaian untuk menangani isu kemiskinan digital di negeri ini.

Salleh turut mencadangkan supaya senarai nama e-Kasih dikemaskinikan segera bagi memastikan perkhidmatan sampai kepada semua yang layak.

Beliau berkata ini boleh dilakukan dengan memaparkan semua senarai nama nama- nama berdaftar e-Kasih di balai raya atau mana-mana yang lokasi sesuai.

Katanya terdapat keperluan untuk mengemaskinikan e-kasih bagi membolehkan kerajaan dapat menilai ketelusan dan selain memperbaiki sebarang kelemahan urustadbir perkhidmatan tersebut agar ia lebih cekap dan berkesan.

“Kita perlu pastikan hanya golongan sasar e-Kasih yang benar-benar memerlukan menerima bantuan tersenarai.

“Bantuan perlu disalurkan bersandarkan atas dasar kemanusiaan tanpa dipengaruhi oleh perbezaan bangsa, agama dan juga politik,” katanya.-pr/BNN

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top