SSK Kemuka Cadangan Atasi Kenaikan Harga Barang

SSK.jpg

DSP Dr Salleh Tun Said (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK) telah melontarkan beberapa idea untuk menangani kenaikan harga barang di negara ini.

Menurutnya, langkah kerajaan untuk mengutamakan usaha menyelesaikan isu kenaikan harga barang adalah tepat pada masanya, kerana ia mungkin membantu meringankan beban rakyat.

“Sebagai contoh, harga dedak yang tinggi menyumbang kepada kenaikan harga ayam.

“Malah, kerajaan kini mengambil langkah mengapungkan harga dedak/ayam demi kepentingan rakyat. Ini adalah penyelesaian jangka pendek terbaik,” katanya dalam catatan Facebook terbaharunya.

Berkongsi idea untuk manfaat jangka panjang, Salleh berkata kenaikan harga dedak dijangka dapat diselesaikan dengan program penanaman jagung secara besar-besaran.

Beliau berkongsi idea untuk mengatasi masalah itu dalam jangka masa panjang dengan menjelaskan kenaikan harga dedak boleh diatasi dengan program menanam jagung berskala besar.

“Petani dan pekebun setiap negeri boleh memperkasakan tanaman jagung sekali gus membantu negara untuk meningkatkan pengeluaran.

“Di Sabah misalnya, kita boleh perkasakan industri pertanian kerana mempunyai tanah yang luas dan iklim yang sesuai. Namun, banyak perkara perlu diteliti dari segi logistik, kos dan tenaga buruh untuk memastikan ia lancar,” katanya.

Katanya, terdapat kaedah lain yang boleh digunakan kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang.

Ini termasuk membanteras aktiviti pencatutan dan monopoli.

“Peraturan dan perundangan yang lebih kukuh dan berkesan perlu ada supaya tidak berlaku salah guna kuasa,” katanya.

Selain itu, Salleh yang juga ADUN Usukan menggesa kerajaan meneruskan pemberian bantuan tunai secara one-off kepada golongan sasar seperti yang diumumkan Perdana Menteri.

“Ini sangat membantu kerana perbelanjaan bulanan rakyat dianggarkan meningkat daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

“Justeru, bagi menampung peningkatan kos sara hidup, bantuan tunai adalah penyelesaian terpantas dan paling berkesan,” katanya.

Menyentuh mengenai ekonomi, Salleh yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu menumpukan kepada pasaran eksport kerana ‘ia adalah faktor utama penyumbang gaji rendah dan kebergantungan kepada pekerja asing’.

“Justeru, import dan eksport perlu seimbang. Laporan DOSM pada Mac lalu merekodkan prestasi eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua digit pada Februari 2022, iaitu meningkat 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion, tahun ke tahun.

“Selari peningkatan eksport, import meningkat 18.4 peratus daripada RM69.7 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM82.5 bilion,” katanya.

Salleh yakin dengan polisi dan dasar yang sistematik dan kukuh, ekonomi akan terus berkembang.

“Negara juga akan makin pulih dan membangun. Yang penting ialah semua pihak saling bantu bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top