KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta menumpukan perhatian untuk proses vaksinasi Sabah bagi mencapai matlamat imuniti kelompok sebelum Oktober ini.
Ketika membuat gesaan itu Adun Usukan, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan GRS, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK) mengatakan, langkah itu perlu memandangkan kadar imunisasi di negeri ini masih pada tahap tidak memuaskan.
“Saya menyeru Kerajaan Persekutuan agar segera memberi perhatian program imunisasi di Sabah supaya kita segera capai imuniti kelompok sebelum Oktober 2021.
“Sudah terlalu lama statistik Sabah dibiarkan terendah di Malaysia – jumlah pendaftaran 990,681 (35.9%) dan jumlah vaksin Dos 1 – 475,084 (12.2%),” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Menurutnya, kerajaan wajib melipatgandakan usaha dan tenaga untuk percepatkan kadar vaksinasi.
“Sekurang-kurangnya sasaran 50,000 dos vaksin sehari. Gunakan pelbagai kaedah dan strategi yang sudah berkesan.
“Masa untuk berkorban dan selamatkan Sabah,” katanya, sambil mengakhiri kenyataan itu dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha,” katanya.