KOTA KINABALU: Dua bekas menteri persekutuan disebut-sebut sebagai antara calon pilihan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kota Belud Sabah pada PRU-15.
Kedua-duanya, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK) dan Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan (DARD) disifatkan sebagai calon mampu menang di kawasan di mana Umno memenangi kerusi DUNnya yang pertama beberapa bulan selepas bertapak di Sabah.
Bekas ketua menteri Tun Datu Mustapha Harun memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil yang berlangsung pada Mei 1991.
Pada PRU-14 kerusi Parlimen Kota Belud dimenangi oleh calon Warisan Isnaraissah Munirah Majilis.
Umno kini meletakkan sasarannya untuk merampas kembali kerusi itu, yang dianggapnya sebagai salah satu kerusi yang boleh dimenanginya.
Salleh kini merupakan ADUN Usukan selepas menang kerusi tersebut pada PRN 2020 dengan majoriti lebih 4,000 undi.
Umno Sabah melihat beliau sebagai antara calon yang boleh menang, walaupun ada yang berpendapat bahawa Abdul Rahman, ahli majlis tertinggi Umno, boleh menjadi pilihan yang tepat untuk kerusi itu.
Salleh masih belum mengulas mengenai kemungkinan pencalonannya tetapi Abdul Rahman telah menyuarakan keinginannya untuk berkhidmat semula kepada rakyat Kota Belud. (Lihat di sini)
Abdul Rahman mengambil alih kerusi Kota Belud daripada Salleh pada pilihan raya umum 2008 dan menyandangnya selama dua penggal.
Kepimpinan Umno kemudian mengarahkan beliau berpindah dan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar pada 2018, dengan Salleh kembali ke Kota Belud. Kedua-duanya gagal memenangi kerusi-kerusi tersebut.
“Saya lebih suka tinggal di Kota Belud ketika itu tetapi saya akur dengan arahan parti untuk berpindah ke Sepanggar, tetapi terbukti strategi parti itu salah dan kita tewas,” katanya.
Bagi tujuan ini, Abdul Rahman berkata adalah penting untuk mempunyai kerajaan yang stabil dan kukuh yang mempunyai mandat besar oleh rakyat selepas PRU15.
“Ini kerana mulai 2023 dan seterusnya, negara ini akan menghadapi cabaran yang anda tidak pernah lihat sebelum ini, dari segi ekonomi.
“Jadi, jika parti politik dan rakyat masih bertelagah, saya rasa rakyat Malaysia akan mencela kita,” katanya.