KOTA BELUD: ADUN Usukan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said (SSK) mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi mendaftar penduduk di kawasan itu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bermula hari ini.
SSK dalam satu kenyataan berkata, kempen yang dinamakan Kempen Daftar Vaksin DUN Usukan (KDV Usukan) ia merupakan langkah proaktif bagi memerangi COVID-19 yang masih merupakan ancaman kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
“Kempen ini akan melibatkan kerjasama antara UPPM Usukan dan SSK Centre,” kata bekas menteri Komunikasi dan Multimedia persekutuan itu.
Menurut beliau data pendaftaran itu akan diselaraskan dengan pihak-pihak berwajib.
“Kita perlu memikul tanggungjawab (memerangi pandemik ini) dan mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin untuk komuniti kita,” ujarnya lagi sambil mengharap usaha itu mendapat kerjasama warga Usukan.