Srikandi Bersatu Ranau Wujudkan ‘Food Bank’

srikandi-ranau.jpg
Kongsi Bersama

RANAU: Srikandi Bersatu Ranau akan mewujudkan ‘food bank’ (tabung makanan) bermula Isnin ini sebagai salah satu usaha membantu golongan memerlukan akibat pandemik Covid-19 yang masih berterusan hingga ke hari ini.

Ketua Srikandi Bersatu Ranau, Datuk Amisah Yassin berkata, pihaknya berasa terpanggil melaksanakan inisiatif itu selepas mendapati masih terdapat golongan yang memerlukan bantuan berbentuk makanan harian.

“Kita berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan memerlukan khususnya dalam aspek makanan harian memandangkan keadaan pandemik masih berterusan.

“Malah inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan orang-orang persendirian yang tampil untuk bersama-sama menyumbang,” katanya.

Beliau berkata, antara penyumbang tersebut ialah daripada Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah yang diketuai oleh Presidennya, David Chan.

Amisah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, inisiatif itu ternyata memberikan peluang kepada banyak pihak untuk menghulur sumbangan kepada golongan yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini membuktikan ramai masyarakat kita yang sedang berdepan dengan keadaan sangat mencabar dan terpaksa mengikat perut. Golongan berpendapatan rendah atau B40 merupakan kelompok yang paling terkesan akibat penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, food bank yang bertempat di Kampung Paka 2, Ranau itu turut mengalukan-alukan orang ramai yang bermurah hati untuk menyumbang berupa makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, mi, mi segera, susu, biskut,  kopi/tea, gula, sardin, garam, telur dan sebagai.

Mereka boleh menghubungi Datin Ladiah di talian 013-5544500, Floris (011-25221961) dan Amisah  Yassin (019-8111310).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu dan menyumbang kepada inisiatif food bank berkenaan selepas melihat ramai dalam kalangan penduduk yang hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, sebilangan mereka tidak tahu di mana boleh mendapatkan bantuan dan melalui food bank ini, caranya lebih mudah dan tanpa kerenah birokrasi.

“Kita berharap golongan yang memerlukan tampil atau datang ke pusat food bank untuk mendapatkan keperluan masing-masing dan jangan biarkan keluarga dalam keadaan kelaparan akibat Covid-19 dan PKP.

“Kepada jiran-jiran atau mana-mana pihak yang mengetahui jika berlaku kes-kes keluarga terkesan tetapi tersisih atau tertinggal daripada menerima bantuan, salurkan maklumat segera kepada pusat food bank ini,” katanya. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top