KOTA KINABALU: Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) secara rasmi menyerahkan pengurusan dan operasi Pelabuhan Kontena Sapangar Bay (SBCP) kepada DP World iaitu peneraju global dalam logistik rantaian bekalan pintar.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak atas perkembangan penting itu.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara SPSB dan DP World menekankan potensi Sabah sebagai pemain utama dalam perdagangan serantau dan global.
“Pelaburan DP World dalam SBCP secara jelas menunjukkan kepercayaan mereka terhadap lokasi strategik Sabah yang menjanjikan prospek pertumbuhan.
“Kerjasama ini bakal menjadikan SBCP sebagai pusat perdagangan serantau yang terkemuka dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan seterusnya, memperkukuh pengaruh dan peranan Sabah dalam rantaian bekalan global,” katanya di sini kelmarin.
Hajiji berkata, dengan meningkatkan kecekapan perhubungan pelabuhan, kerjasama ini akan membuka pasaran baharu untuk perniagaan di Sabah khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menurutnya, ia juga akan memberi kuasa kepada perniagaan tempatan untuk memperluas capaian mereka dan bersaing dengan lebih berkesan di peringkat global serta, mendorong kemakmuran ekonomi.
“Saya menantikan integrasi logistik canggih dan teknologi pintar yang akan memodenkan operasi pelabuhan di Sabah, memastikan pelabuhan kita kekal kompetitif dalam persekitaran perdagangan global yang berkembang pesat,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya memuji SPSB atas visi dan dedikasi mereka dalam merealisasikan kerjasama penting ini dan meletakkan asas untuk pertumbuhan dan peluang bagi Sabah.
Sementara itu, kerjasama melalui usaha sama syarikat SBCP Sdn. Bhd yang akan dinamakan semula sebagai DP World Sabah Sdn Bhd) menandakan kemajuan besar dalam landskap maritim dan logistik Sabah serta usaha pertama DP World ke pasaran Malaysia.
Di bawah kerjasama ini, SPSB dan DP World komited untuk menjadikan SBCP sebagai pusat perdagangan serantau utama, terutamanya untuk BIMP-EAGA.
Fokus strategik akan melibatkan peningkatan capaian SBCP, kecekapan operasi, dan kapasiti terminal, dengan memanfaatkan rangkaian global dan kepakaran DP World yang luas.
Selain itu, kerjasama ini bertujuan meletakkan SBCP sebagai pelabuhan yang kompetitif secara global, memacu perdagangan dan mencipta hubungan yang kukuh antara perniagaan tempatan dan pasaran antarabangsa.
Ia akan membantu menangani cabaran lama mengenai kos logistik yang tinggi di Sabah dengan mewujudkan rangkaian rantaian bekalan yang cekap dan berdaya tahan.
Kerjasama ini dimeterai pada April 2024 apabila Pengerusi Kumpulan dan CEO DP World Sultan Ahmed Sulayem, menandatangani perjanjian strategik, termasuk antara lain, Perjanjian Langganan Saham dan Perjanjian Pemegang Saham untuk usaha sama serta Perjanjian Kerjasama antara JV dan SPSB.
Serah terima operasi berlaku pada 9 September 2024 menandakan permulaan transformasi SBCP dan integrasi ke dalam rangkaian pelabuhan dan logistik luas DP World di seluruh dunia.
DP World, yang beribu pejabat di Dubai, mempunyai operasi di lebih daripada 70 negara dan terkenal dengan peranannya dalam mewujudkan Dubai sebagai pusat perdagangan global melalui pembangunan Pelabuhan Jebel Ali dan Zon Bebas Jebel Ali (JAFZA).
Pada majlis itu, pihak SPSB diwakili pengerusinya Datuk Faisyal Hamdan Diego dan Pengarah Urusan Datuk Ng Kiat Min manakala EVP untuk Asia Tenggara DP World yang juga Pengarah SBCP Sdn Bhd Xavier Eiglier dan Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan DP World Asia Pasifik merangkap Pengarah Urusan SBCP Sdn Bhd, Safuan Basir menandatangani bagi pihak DP World.