SPRM Siasat Bekas Menteri Kanan, Tokoh Perniagaan Seleweng RM2.3 Bilion Dana Negara

sprm.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri kanan dan seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.

Menurut sumber, siasatan itu dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sumber berkenaan berkata siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

“Difahamkan, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” menurut sumber itu.

Sumber itu memaklumkan penyiasatan itu bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut, pemilikan aset-aset berharga yang dimiliki ahli perniagaan dan bekas menteri kanan itu serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan di luar negara.

“SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata siasatan bertumpu pada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.– BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top