SPRM Sabah tumpaskan sindiket penyamaran pegawai kanan kerajaan

sprm-nyamar.jpg

Lima daripada tujuh individu yang ditahan SPRM Sabah berkaitan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan SPRM dan pegawai kanan Menteri Dalam Negeri. - Foto: SPRM

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada Menteri Dalam Negeri, baru-baru ini.

Modus operadi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran itu untuk menipu mangsa kononnya mereka boleh menyelesaikan kes yang sedang disiasat agensi penguat kuasa.

Sumber berkata, kegiatan sindiket itu dipercayai telah memperdaya mangsa hingga mengakibatkan kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurut sumber, serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi oleh pihak SPRM Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu sejak beberapa hari lalu adalah berdasarkan hasil risikan yang telah dibuat sebelum ini.

“Hasil serbuan ini, seramai tujuh individu warganegara Malaysia yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun telah ditahan.

“Proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu, Sabah esok,” kata sumber itu semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga menyeru agar orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak meminjamkan akaun bank mereka untuk kegunaan orang lain.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya sekiranya ada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan awam.

 

Sumber: AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top