SPRM Sabah Tahan Guru Besar Lantik Syarikat Keluarga Bekal Alat Tulis

sprm.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang guru besar ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya apabila melantik syarikat milik ahli keluarga sendiri untuk membekalkan peralatan alat tulis kepada pihak sekolah.

Lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 50-an, ditangkap selepas selesai memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pada 10 pagi, semalam.

Suspek didakwa menganugerahkan kontrak bernilai lebih RM36,000 kepada firma yang dimiliki bersama isteri serta saudara perempuannya.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy, yang mengesahkan penangkapa itu, berkata lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, dan akan dihadapkan ke mahkamah khas rasuah di sini, tidak lama lagi.

Beliau berkata, seramai 13 guru besar dan pengetua sudah ditahan dan dituduh atas kesalahan rasuah sejak 2019. Dua daripadanya disabit kesalahan dan dikenakan hukuman oleh mahkamah.

Sehubungan itu, Karunanithy berkata, SPRM menganjurkan taklimat berhubung jenis kesalahan penyelewengan membabitkan sekolah di Sabah, sejak 2019.

Dalam pada itu, dalam kes berasingan membabitkan penyalahgunaan kuasa, SPRM Tawau menahan pegawai kerajaan yang bertindak meluluskan permohonan tender dibuat isterinya bagi pembelian kenderaan bernilai RM15,000, yang mana agensi lelaki itu bekerja mahu melupuskan aset berkenaan.

Lelaki berkenaan berusia lingkungan 40-an, ditangkap di pejabat SPRM, pada 9 pagi, semalam.

Karunanithy turut mengesahkan kes itu dan berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Pegawai itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 24 Februari ini, katanya sambil menambah SPRM turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda daripada suspek.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top