KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki berumur 40-an atas kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM300,000.
Menurut sumber, suspek merupakan seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu.
Beliau telah ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir untuk memberi keterangan.
Suspek dipercayai melakukan kesalahan dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu sekitar 2018 membabitkan tiga tuntutan yang berasingan.
Tuntutan tersebut melibatkan tiga program yang dilaksanakan di kolej tersebut dan beliau telah membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus berkenaan.