SPRM Arah Beku 2 Akaun Bank Milik Isteri Bekas Pengarah JANS, Kata Saksi

bekas-pengarah-JANS.jpg

Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Awang Mohd Tahir (kiri) diiringi peguamnya Marcel Jude keluar dari kamar mahkamah, semalam.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah, semalam, diberitahu dua akaun bank yang mempunyai baki RM84,654.84 milik tertuduh kedua kes rasuah membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Fauziah Piut, dibekukan pada 8 Okt 2016.

Saksi ke-20, Salimah Lamat yang juga penolong pengurus Bank Rakyat Berhad cawangan Kota Kinabalu, berkata pembekuan itu dibuat selepas pihaknya menerima arahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, dua akaun bank itu yang dimaksudkan ialah akaun simpanan bernombor 22-053-158974-0 dan akaun saham bernombor 77-053-110442-1.

Beliau berkata, akaun simpanan milik Fauziah mempunyai baki terakhir sebanyak RM49,974.84 manakala akaun sahamnya mempunyai baki terakhir sebanyak RM34,684.00, setakat penyata dicetak pada 8 Nov 2016.

“Berdasarkan kepada dokumen ini juga, penama Fauziah Bt Piut telah membeli saham dengan Bank Rakyat Berhad pada 17 Sep 2004

“Pihak Bank Rakyat cawangan Kota Kinabalu tidak menyimpan sebarang dokumen permohonan untuk pemilikan saham ini kerana bagi dokumen yang telah melebihi tujuh tahun akan dihantar ke ibu pejabat Bank Rakyat Berhad di Kuala Lumpur, tetapi dokumen ini boleh diperoleh di situ,” katanya dalam kenyataan saksinya, semalam.

Salimah berkata demikian selepas dirujuk kepada penyata Bank Rakyat Berhad atas nama Fauziah yang bernombor 77-053-110442-1 dan bertarikh pada 8 Nov 2016.

Selain Fauziah, dua lagi tertuduh ialah suaminya yang juga bekas pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib dan bekas timbalannya, Lim Lam Beng.

Pada 29 Dis 2016, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Terdahulu, saksi ke-19, Kaim Kalimin, yang merupakan pegawai di Kementerian Kewangan negeri, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti sama ada peruntukan tambahan diberikan kepada JANS bermula 2006 hingga 2016 telah habis digunakan atau tidak.

“Pihak Kementerian Kewangan tidak mendapat maklum balas daripada JANS mengenai perkara tersebut.

“Setahu saya, sebahagian daripada jumlah peruntukan untuk menyelesaikan kerja-kerja kecemasan (di bawah AP 55) akan diselaraskan di bawah peruntukan tambahan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerja-kerja kecemasan boleh dibiayai melalui peruntukan-peruntukan sedia ada tertakluk kepada prosedur yang terkandung dalam AP 55, bagaimanapun, sekiranya tiada peruntukan sedia ada, sejumlah peruntukan yang terlibat dengan kerja-kerja kecemasan itu hendaklah di selaraskan di bawah peruntukan tambahan yang diluluskan oleh DUN,” katanya menerusi kenyataan saksi.

Sebelum itu, Kaim turut dirujuk peruntukan tambahan yang diluluskan berdasarkan rekod Waran Peruntukan Am Penyata Tambahan Pertama yang dikeluarkan dari tahun 2006 hingga tahun 2016.

Menurut penyata berkenaan, jumlah peruntukan tambahan diberikan kepada JANS daripada 2006 hingga 2016 ialah sebanyak kira-kira RM1.4 bilion.

Perbicaraan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat bersambung hari ini.

Sumber: FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top