KOTA KINABALU: Pihak berkuasa akan menurunkan papan iklan Barisan Nasional yang memaparkan imej perdana menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini kerana melanggar peraturan kempen Suruhanjaya Pilihan Raya, lapor Malay Mail.
Laporan itu memetik calon DAP Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang memaklumkan, SPR berkata akan mengambil tindakan susulan aduannya mengenai papan iklan itu.
“Saya terjumpa papan iklan di walkabout saya di Bandaran Berjaya. Partinya tidak bertanding di kawasan ini dan mengikut peraturan, tidak boleh diletakkan,” kata penyandang Ahli Parlimen itu.
“Mungkin dia lupa BN tidak bertanding di semua tempat. Saya berasa agak sedih kerana terpaksa menurunkan gambarnya tetapi ini bukan Lord of the Rings lagi. Ia bukan satu cincin untuk memerintah kesemuanya,” katanya merujuk kepada siri fantasi popular karya J.R.R. Tolkien.
BN tidak bertanding secara langsung di kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan diwakili melalui pakatan pilihan raya BN-Gabungan Rakyat Sabah yang telah meletakkan calon Parti Bersatu Sabah Yee Tsai Yiew untuk mencabar Chan.
Selain itu, SPR juga hanya membenarkan gambar calon yang disahkan bertanding sahaja dipaparkan dalam bahan pilihan raya di kawasan yang dipertandingkan.