Spesies Terancam Yu Zebra ‘Dikurung’ Di Restoran

ebra-shark-and-Napoleon-wrasse.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pasukan pemuliharaan ikan yu terkejut apabila melihat gambar tular spesies yu unik disimpan dalam tangki di sebuah restoran di sini.

Gambar itu menunjukkan yu zebra yang juga dikenali sebagai “leopard shark” dikurung dalam tangki di ruang makan restoran berkenaan.

Species yu itu disenaraikan sebagai “terancam” dalam Senarai Merah International Union for Conservation of Nature (IUCN) yang berisiko pupus di seluruh dunia.

Gambar dan video hidupan laut itu dihantar melalui e-mel kepada media bersama kenyataan akhbar oleh Sabah Shark and Ray Initiative (SSRI).

SSRI diwujudkan untuk memperkukuh pemuliharaan ikan Yu dan pari di Sabah dengan memperbaiki kerangka perundangan dan peraturan, menangani tangkapan sampingan yu dan pari secara komersial dan kecil-kecilan, meningkatkan keberkesanan kawasan perlindungan laut dan mempromosi tindakan politik dengan meningkatkan kesedaran.

Dalam industri perikanan, “by-catch” bermaksud ikan atau spesies marin lain yang ditangkap secara tidak sengaja ketika memancing hidupan liar tertentu.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Yayasan Penyelidikan Marin, Nick Pilcher, yang terkejut dengan gambar itu, bimbang perkara lebih buruk akan berlaku.

“Melihat ikan yu yang terancam disimpan dengan cara ini di restoran adalah cukup menyakitkan. Kita hanya boleh menganggap ia berada di situ untuk dijual sebagai makanan, dan ini amat mengejutkan,” katanya dalam kenyataan itu.

“Ini adalah spesies ikan yu yang sangat unik, yang sepatutnya dilindungi undang-undang, sesuai dengan statusnya yang terancam.”

Walaupun unik dan aktif pada waktu malam, yu zebra kadangkala dilihat di kawasan terumbu di sekitar Sabah.

Pilcher berkata, berdasarkan gambar yang tular, ada satu lagi spesies luar biasa yang turut disimpan di restoran tersebut.

“Anak ikan napoleon disimpan dalam tangki bersama yu itu, manakala seekor ikan napoleon betina dewasa lain dikurung dalam tangki bersebelahan. Ikan-ikan ini juga disenaraikan sebagai terancam dalam Senarai Merah IUCN, dan hanya dilihat di kawasan-kawasan dilindungi, seperti Pulau Sipadan,” katanya.

Walaupun statusnya terancam, tidak ada satu pun spesies yang dilindungi oleh undang-undang di Sabah, di luar kawasan yang diwartakan di Sabah.

Sekumpulan NGO berusaha memperjuangkan isu itu sebagai sebahagian daripada usaha Sabah Shark and Ray Initiative. Mereka termasuk LEAP Spiral, Forever Sabah, WWF-Malaysia, Marine Research Foundation, Scuba Junkie SEAS dan Sabah Shark Protection Association.

Dari perspektif pemuliharaan, Pilcher berkata melihat hidupan laut dijaga sedemikian rupa terutama ketika begitu banyak badan kerajaan dan NGO bekerjasama untuk melindungi beraneka hidupan laut luar biasa yang terdapat di negeri ini amat mengecewakan.

“Spesies yang terancam seperti ini perlu diberi perlindungan penuh oleh undang-undang, dan tidak dieksploitasi oleh pemilik dan peniaga restoran,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top