PETALING JAYA: Seorang timbalan menteri mengkritik SOP Covid-19 ditetapkan kerajaan untuk sambutan Tahun Baru Cina pada minggu depan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ti Lian Ker berkata, SOP itu perlu dibetulkan segera.
“Seseorang melakukan kesilapan di sini. SOP ini mesti ditarik balik dan dibetulkan segera! Ini bukan SOP, tetapi Kota Larangan,” tulisnya dalam catatan di Facebook.
Ramai ahli politik dan individu lain turut membidas SOP kerajaan yang didakwa tidak perlu dan tidak peka budaya.
Malah, ada yang mempersendakan SOP untuk makan besar pada malam Tahun Baru Cina sekadar makan malam keluarga di rumah.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina, yang antara lain hanya membenarkan makan besar pada malam perayaan itu dan upacara keagamaan dalam kalangan ahli keluarga serumah.
Pada masa sama, beliau berkata, pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat mencuci kereta dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam mulai Jumaat.
Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menerusi Twitter menulis: “Ismail Sabri kata makan besar Tahun Baru Cina hanya dibenarkan untuk mereka yang tinggal di rumah sama. Errrr…orang waras gelarnya makan malam biasa, bukan makan besar Tahun Baru Cina.
“Sekurang-kurangnya benarkan keluarga di daerah atau kawasan sama berkumpul untuk makan besar Tahun Baru Cinalah (Maksimum 10 atau 15 orang).”
Sementara itu, pelawak Dr Jason Leong menerusi Facebooknya berkata: “Jadi semasa PKP (perintah kawalan pergerakan) ini, saya tidak boleh menziarah ibu bapa saya ketika Tahun Baru Cina kerana kami tinggal di rumah berlainan, tapi itu okey. Keluarga saya dan saudara-mara semuanya berjumpa untuk sekurang-kurangnya bertanya khabar dan menukar angpau…di pasar malam terdekat.”
Bekas timbalan menteri pertanian dan industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, SOP Tahun Baru Cina tidak masuk akal.
“Keluarga tinggal di daerah sama boleh ziarah satu sama lain sekarang. Ketika Tahun Baru Cina, ia dilarang. Mari tunggu pusingan U semula,” tulisnya di Twitter.
Seorang lagi pengguna Twitter @mthanean menyindir SOP itu dengan berkata sekarang “CNY” ialah singkatan untuk “Celebrate Next Year” (raikan tahun depan).
Pengguna @jsadiq menyifatkan SOP itu “jenaka” dan mempersoalkan keperluan membuat prosedur khas untuk ahli keluarga yang tinggal serumah.
Katanya, makan besar pada malam Tahun Baru Cina, iaitu 11 Feb, tetapi SOP menyatakan ia terpakai untuk hari pertama dan kedua Tahun Baru Cina.
Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut mengkritik SOP itu dan meminta MCA menasihatkan Perikatan Nasional (PN) mengenai kesedaran budaya.
“Idea ziarah mereka = ketuk setiap pintu bilik kerana ia juga adalah ‘seisi rumah’?
“Kami tidak menonton opera Cina. @MCAHQ boleh anda tolong nasihatkan PN untuk mempunyai kesedaran budaya.” – FMT